Saturday 15 October 2011

MAJLIS PERASMIAN KOMPLEKS PEJABAT SPRM PERAK

Pada tanggal 01 Oktober 2011 bersamaan dengan 3 Zulkaedah 1432H iaitu hari sabtu seramai 39 orang mahasiswa dan mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berkunjung ke perasmian kompleks pejabat SPRM Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-83 Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan yang diadakan di kompleks pejabat SPRM Perak , Ipoh.
Perjalanan bermula pada jam 7.30 pagi dan mengambil tempoh lebih kurang 2 jam untuk ke destinasi. Kami tiba di sana pada jam 9.30 . Sarapan pagi disediakan oleh pihak SPRM Perak yang dihidangkan di sebuah kedai yang berdekatan .
Setibanya kami di sana , kami di sambut oleh beberapa orang pegawai SPRM dan juga pegawai dari unit PENMAS . Tetamu yang hadir disediakan cenderamata daripada pihak SPRM Perak.  Majlis ini disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan , Sultan Azlan Muhibbudin Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzudin Shah Ghafarullah dan Sultan , Yang Di-Pertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak .
Setelah selesai perasmian , kami dan jemputan yang lain dihidangkan makanan tengahari. Selepas itu , kami bergerak ke ruang pameran untuk melihat beberapa koleksi di dalam kompleks pejabat SPRM Perak . Di kesempatan ini juga , kami mengambil gambar sebagai kenang – kenangan.
Sekitar jam 12.30 tengahari kami bertolak pulang ke UPSI dan tiba sekitar jam 3.30 petang . Dengan penuh rasa syukur kerana dapat menjadi sebahagian daripada jemputan yang dapat memeriahkan majlis perasmian tersebut .

"BERSAMA MAHASISWA PERANGI RASUAH"

PROGRAM TANGGAL PUISI PERANGI RASUAH

Pada tanggal 08 Oktober 2011 , Sekretariat Pencegahan Rasuah UPSI (SPR UPSI) akhirnya berjaya menganjurkan program Tanggal Puisi Perangi Rasuah yang bertemakan  “Ilmu Ditabur Kasih Disemai “ . Program ini dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Paduka Dr.Junaidi Bin Abu Bakar iaitu Timbalan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI . Antara tetamu yang menghadiri program ini ialah Yang Berbahagia Tuan Shaharom Nizam Bin Abd Manap iaitu Timbalan Pengarah Operasi SPRM Perak , Yang Dihormati Puan Hajah Zainab Binti Othman iaitu Timbalan Pendaftar Kanan JHEPA UPSI , Yang Berusaha En.Musa Bin Jaafar iaitu penasihat SPR UPSI serta Yang Dihormati Encik Othman Bin Mashroh iaitu Ketua Unit PENMAS SPRM Perak .
Program sulung anjuran SPR UPSI  pada tahun 2011 ini diadakan di Bilik Seminar Bitarasiswa , UPSI pada jam 9.00 pagi dan tamat pada jam 12.30 tengahari. Antara objektif program ini ialah untuk menyampaikan mesej – mesej mengenai budaya rasuah serta kesannya dalam pembangunan masyarakat . Selain itu, program ini juga adalah untuk membuahkan idea – idea serta hujah – hujah bernas berkaitan isu – isu rasuah dikalangan para mahasiswa/i dan melahirkan bakat – bakat baru dalam bidang seni pengucapan awam kepada bakal-bakal pendidik.
Pertandingan sajak ini disertai oleh 13 orang peserta di kalangan mahasiswa/i UPSI daripada semester 1 hingga semester 8 iaitu seramai 8 orang pelajar lelaki dan 5 orang pelajar perempuan . Juri – juri professional daripada pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi iaitu Dr.Abdul Halim bin Ali serta En. Ghazali bin Din serta Yang Mulia Raja Ahmad Shalaby bin Raja Hassan iaitu pustakawan Perpustaakaan Tunku Bainun UPSI diberi amanah untuk mengadili pertandingan ini .
Johan bagi pertandingan ini ialah Mohd Khairul Azhar bin Usop iaitu pelajar semester 1 yang sedang mengikuti pengajian dalam ISMP Bahasa Melayu dengan sajaknya yang bertajuk ‘Aku Si Baju Melayu ‘.
Setinggi – tinggi jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini dengan izinNYA . Kami barisan SPR UPSI berharap agar bidang pengucapan awam ini menjadi satu wadah untuk mahasiswa/i kerana program seumpama ini akan melatih diri lebih berkeyakinan serta percaya pada kemampuan diri .
“ANDA BOLEH LAKUKAN PERUBAHAN PERANGI RASUAH”

Thursday 29 September 2011

Khutbah Jumaat: Ihsan mampu kawal diri daripada terjebak gejala rasuah


Khutbah Jumaat: Ihsan mampu kawal diri daripada terjebak gejala rasuah


2011/09/30

RASUAH menjadi penyakit dan jenayah yang menular dalam kehidupan masyarakat di semua tempat. Tidak ada negara boleh mendakwa bebas daripada rasuah, cuma yang boleh dibezakan pada tempoh satu-satu masa hanyalah dari segi tahap keseriusan jenayah rasuah yang berlaku. Rasuah dalam perspektif hukum Islam adalah haram berdasarkan al-Quran, Sunnah dan ijmak ulama.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 188)
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertanggungjawab mengendalikan jenayah rasuah dan sepanjang siasatan dijalankan, SPRM tidak membezakan antara satu pihak dengan pihak lain.
Setiap kesalahan rasuah, penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa, SPRM akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka tanpa mengira pangkat atau taraf kedudukan. Kesalahan rasuah bukan terletak kepada kecil atau besar jumlah transaksi tetapi pihak yang terbabit iaitu pemberi, penerima atau orang tengah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat at-Thobarani)

Jika amalan rasuah terus meningkat, dikhuatiri akan mengancam kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan negara. Mengapa amalan rasuah berlaku?

Berdasarkan pemerhatian, antara faktor utama menyebabkan berlaku rasuah ialah bernafsu besar atau sifat tamak haloba, mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat, tidak bersyukur serta terikut-ikut rakan sekerja.
Seseorang yang didorong perasaan tamak haloba serta mementingkan diri amat cekap dan berani melanggar batasan digariskan Islam pada hal perbuatan itu boleh menyusahkan diri sendiri selain mengakibatkan punca pendapatan tidak halal.

Ingatlah darah daging daripada hasil yang haram, maka api neraka adalah tempatnya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh hasil dari makanan yang haram itu maka api neraka adalah lebih utama untuknya.” (Hadis riwayat al-Tarmizi)

Satu perkara lagi yang mendorong berlaku gejala rasuah ialah kurangnya penghayatan kepada sifat ihsan yang bermaksud kita melaksanakan sesuatu perkara untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan perasaan yakin seolah-olah kita dilihat dan dipantau Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW ketika di tanya Jibril mengenai ihsan yang maksudnya: “Apakah ihsan itu? Sesungguhnya kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, tetapi jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sifat ihsan akan melahirkan mereka yang bertanggungjawab dan beristiqamah melakukan tugas sama ada ketika berdepan dengan orang ramai atau di tempat sunyi, ketika bersama majikan ataupun ketika ketiadaan majikan.

Ingatlah semua wang kekayaan yang didapati dengan cara haram adalah tidak berkat. Kekayaan secara haram tidak membawa kesenangan dan kebahagiaan dalam hidup, menyebabkan kesengsaraan serta kecelakaan di dunia dan akhirat.

Satu lagi kesan buruk daripada jenayah rasuah ialah tertolaknya ibadah solat dan doa kerana mengguna sumber yang haram. Alangkah ruginya kita disebabkan perbuatan ini ibadah dan doa menjadi sia-sia justeru menjauhkan kita daripada rahmat Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka ditimpa kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpa kemiskinan. Yang demikian itu, disebabkan mereka ingkar akan ayat Allah, dan mereka membunuh Nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas.” (Surah Ali-Imran, ayat 112).

Sumber : Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KhutbahJumaat_Ihsanmampukawaldiridaripadaterjebakgejalarasuah/Article/





Thursday 16 June 2011

Rasuah atau Hadiah???


Soalan:
Kepada Dr Asri, saya berniaga tender kerajaan dan ingin memohon penjelasan Dr. Apakah perbezaan diantara rasuah dan hadiah? Kadang kala syarikat saya menghadiahkan sesuatu kepada pegawai yg terbabit sebagai tanda terima kasih walaupun hadiah itu tidak diminta oleh pegawai berkenaan. Adakah ini rasuah atau hadiah? Bagaimana pula jika memberi hamper sempena hari raya? Saya rasa macam kadang kala kita menyembunyikan rasuah dengan perkataan pemberian ikhlas. Harap Dr tolong huraikan.
Farid Ahmad, KL
Jawapan Dr MAZA:
Sikap saudara yang berhati-hati tentang urusan rezeki atau sumber pendapatan dalam kehidupan ini amatlah dipuji. Ini satu tanda adanya nilai kesolehan dalam jiwa. Malang sekali di zaman kini, ramai yang kurang peduli soal halal dan haram hasil pendapatan yang diperolehinya. Soalan saudara asasnya mengenai perbezaan antara hadiah dan rasuah. Persoalan ini dibincang oleh para ulama sejak dahulu kerana bab ini sering disalahgunakan. Ramai yang mengambil kesempatan dengan permainan istilah yang seperti ini. Ada yang cuma menghalalkan rasuah dengan diberi nama hadiah. Saya jawab berdasarkan noktah-noktah berikut:
1. Adanya perbezaan antara rasuah dan hadiah. Rasuah adalah pemberian samada dalam bentuk harta atau manfaat tertentu yang bertujuan untuk memperolehi sesuatu yang bukan haknya, atau menzalimi hak pihak lain. Dalam Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwitiyyah ditakrifkan
“apa yang diberikan dengan tujuan memalsukan kebenaran dan membenarkan kepalsuan”. (lihat:, 22/220)
Adapun hadiah adalah pemberian atas sebab suka atau sayang tanpa sebarang tuntutan atau ganjaran balas yang disyaratkan. Al-Imam al-Mawardi merumuskan “rasuah apa yang diberikan kerana menuntut sesuatu, hadiah pula apa yang disumbang tanpa sebarang balasan”. Ertinya, pemberi rasuah mengharapkan sesuatu balasan yang dia tidak dapat memperolehinya tanpa sogokan tersebut. Dengan pemberian tersebut menyebabkan ada pihak lain yang dizalimi haknya; samada dihilangkan, atau dikurang, atau dilambat atau aka nada pihak yang dikenakan suatu tindakan yang tidak adil. Maka, rasuah merupakan pemberian bersyarat, sementara hadiah bukan pemberian bersyarat dan tidak menyebabkan kezaliman kepada pihak lain. Rasuah dikeji oleh Islam, sementara hadiah digalakkan.
2. Berdasarkan kepada penjelasan di atas, maka orang yang paling dapat mengesan sesuatu pemberian itu rasuah atau hadiah ialah pemberi itu sendiri. Hanya dia yang tahu bagi setiap pemberian yang dihulurkan. Adakah dia mengharapkan sesuatu pada masa tersebut, atau pada masa hadapan dari pihak yang diberikan, sedangkan apa yang harapkan itu dia tidak layak memperolehinya sedemikian rupa?
Selepas itu, pihak yang mengambil juga amat mengetahui bahawa pemberian itu memberikan kesan kepada urusannya atau tidak. Adakah pemberian tersebut akan menyebabkan dia terasa untuk akan membalas ‘budi’ pihak berkenaan dengan memberikan kepadanya apa yang bukan haknya, atau menzalimi hak orang lain?
Sabda Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat” (Riwayat al-Bukhari).
Juga sabda Nabi s.a.w:
“Kebaikan itu apa yang menenangkan jiwa, sementara kejahatan itu keraguan dalam jantung hati, teragak-agak di dada sekalipun manusia memberi fatwa kepadamu ( ianya baik)” (Riwayat Ahmad dan al-Darimi dengan sanad yang hasan).
Ertinya, sekalipun jika ada yang berfatwa untuk menghalalkan yang salah, nmun jiwa mukmin yang ikhlas akan tetap teragak-agak dan ragu mengenainya. Justeru, jika pemberi dan penerima mempunyai perasaan takutkan azab Allah, mereka sendiri dapat memutus apakah nilai pemberian yang diberi atau diterima tersebut.
3. Ertinya, jika pemberian itu atas dasar persahabatan yang tiada kaitan sama sekali dengan jawatan dan kedudukan yang dipegang, maka itu adalah hadiah. Jika ia diberikan kerana jawatan dan kedudukan yang boleh memutuskan sesuatu hak, maka itu adalah rasuah. Perkara ini pernah diingatkan oleh Nabi s.a.w mengenai pegawai atau petugas kerajaan yang mengambil hadiah yang kononnya diberikan kepada mereka. Sabda Nabi s.a.w:
“Apa jadi dengan pegawai yang kita utuskan, kemudian pulang dan berkata: “Ini bahagian kamu, ini bahagian aku. Silakan dia duduk di rumah ayah dan ibunya, lalu tunggu adakah akan diberikan hadiah kepadanya atau tidak?! Demi Allah, dia (pegawai berkenaan) tidak mengambil sesuatu melainkan pada Hari Kiamat nanti dia akan menanggung pemberian itu atas tengkoknya.” (Riwayat al-Bukhari).
Maka, seseorang penguasa atau pegawai atau petugas hendaklah merenung dirinya, pemberian yang diberikan kepadanya itu mempunyai kaitan dengan jawatan yang dipegangnya atau tidak. Jika ada kaitan yang akan mempengaruhi tindakannya atau akan mengganggu keadilan atau amanahnya, maka itu adalah rasuah. Kesan itu samada secara langsung atau secara tidak langsung. Jika pemberian itu atas dasar sahabat dan kenalan, ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa, dan tiada ruang untuk penyalahgunaan kuasa maka ia dinamakan hadiah. Ini seperti kita memberikan hadiah kepada sahabat kita sekalipun dia seorang pegawai besar dalam sesuatu urusan. Namun pemberian itu bukan kerana atau untuk penyalahgunaan kuasa maka itu dianggap hadiah.
4. Rasuah boleh muncul dalam berbagai bentuk; samada harta atau manfaat tertentu yang diberi atau dijanjikan. Juga dengan rasuah hak pihak lain itu boleh dicemari atau dizalimi dalam pelbagai cara. Ini seperti pemberian itu akan menyebabkan disegerakan urusan kita, sehingga menyebabkan terlewatnya urusan pihak lain. Atau jika dalam bentuk persaingan tender seperti zaman sekarang, pemberian rasuah boleh menafikan hak pihak lain untuk dinilai, atau menghapuskan persaingan yang adil antara pihak-pihak yang terlibat. Rasuah juga boleh menzalimi majikan seperti pegawai mengabaikan kualiti kerja disebabkan habuan yang disuap. Juga rasuah juga boleh menyebabkan ada pihak yang akan dihukum secara tidak adil. Firman Allah: (maksudnya)
“dan janganlah kamu makan (mengambil) harta antara kamu dengan cara yang batil, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan cara dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)” (Surah al-Baqarah, ayat 188)
5. Rasuah atas nama hadiah boleh merosakkan rakyat dan negara. Lihat sahaja negara seperti Mesir yang setiap kerja yang sepatutnya berjalan dengan baik terbengkalai kerana setiap urusan akan menuntut wang saguhati atau tips. Bermula dari driver bas di Airport Kaherah sehinggalah ke pihak-pihak yang lebih atas. Apabila keadaan ini berlaku orang miskin susah hendak berurusan kerana mereka tidak mampu memberikan ‘hadiah’ kepada pegawai-pegawai yang bertugas. Kualiti kerja menjadi rosak. Perasaan tanggungjawab terhadap tugas diukur dengan hadiah yang pernah diberikan atau yang akan diberikan. Maka rasuah merangkumi kesalahan berbohong dan khianat.
6. Adapun pemberian untuk mengelakkan kezaliman seperti memberikan suapan kepada sesuatu pihak bagi melepaskan diri dari kezaliman atau memperolehi hak yang sepatutnya. Ini seperti merasuah petugas kepada penguasa yang zalim demi melepas sesuatu kezaliman kepada diri sendiri atau pihak tertentu, atau mengembalikan sesuatu hak yang diambil dengan cara yang zalim, maka Dr. Al-Qaradawi berpendapat bahawa jika keadaan seperti itu berlaku, seseorang hendaklah berusaha dengan cara yang tidak merasuah sesiapa. Namun jika tiada jalan dan terpaksa, maka dosa tersebut ditanggung oleh pihak yang mengambilnya, tidak atas pihak yang memberikan suapan tersebut (lihat: al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, m.s 300, Beirut: al-Maktab al-Islami).
7. Perbuatan rasuah adalah dosa yang besar. Sabda Nabi s.a.w:
“Allah melaknat pemberi rasuah dan penerimanya” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).
Apa tidaknya, rasuah boleh meruntuh keseluruhan sistem keadilan dalam sesebuah masyarakat. Kata Saidina Ali bin Abi Talib:
“Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201. Beirut: Muasasah al-Risalah).
8. Hadiah yang ikhlas adalah digalakkan oleh Islam. Sabda Nabi s.a.w:
“Berilah hadiah nanti kamu akan sayang menyayangi” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).

Ya, hadiah yang jujur kepada sahabat atau bakal pasangan hidup akan menimbul kenangan dan ingatan. Kasih-sayang tanpa kepentingan itu amat tinggi nilainya dalam kehidupan insan. Hadiah satu jalan mengeratkan hubungan antara kita atas kejujuran dan keikhlasan jiwa.

Friday 1 April 2011

Bonus "Skim Cepat Kaya"

Bak kata pepatah yang dikejar tak dapat yang dikendong pun tak dapat,
akhirnya denda dengan penjara juga yang dapat. Inilah bonus-bonus yang menanti orang yang menyalahgunakan kuasa untuk cepat kaya. Mungkin banyak lagi pelaku-pelaku rasuah yang kita tidak ketahui.



Begitulah al kisah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Negeri Sembilan.
Mustaffa Salim dijatuhkan hukuman penjara 3 tahun dan denda RM20,000 petang ini di Mahkamah Sesyen Seremban atas kesalahan menerima suapan wang tunai RM2,000 daripada seorang kontraktor berkaitan surat sokongan permit menjual pasir, dua tahun lalu.Kerana dua ribu kena denda dua puluh ribu tambah dengan penjara tiga tahun. Inilah bonus-bonus istimewa untuk orang-orang yang hendak cepat kaya. Ini baru bonus di dunia kat akhirat nanti macam mana pula...hmm...


Wallahualam.

(p/s Banyak lagi cara yang halal untuk kaya)

(Sumber facebook SPRM)

                                                                                                   by EliteMuslim


Wednesday 30 March 2011

RASUAH : BENTUK, KESAN & STATISTIK DI MALAYSIA

Rasuah Menurut Islam

Rasuah adalah harta yang diperolehi kerana terselesainya suatu kepentingan manusia (baik untuk memperolehi keuntungan mahupun untuk menghindari kemudharatan) yang sepatutnya wajib diselesaikan tanpa imbalan.

Di dalam sesetengah keadaan, rasuah ini hampir sama dengan upah sehingga ada orang yang cuba menyatakan bahawa ‘ini bukan rasuah, tapi upah'.

Pengharaman rasuah adalah jelas berdasarkan Al-Qur'an dan Hadis. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,

وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُواْ بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُواْ فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Ertinya : "Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui." ( Al-Baqarah : 188 )

Disebutkan dalam hadith :-

لَعَنَ رسول اللَّهِ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ في الْحُكْمِ

Ertinya : "Rasulullah s.a.w telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran, kehakiman dll)" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/622 : Imam Tirmidzi berkata : Hadis Hasan Sohih)

Takrif Rasuah dan Sogokan

1) Wang, derma, alang, pinjaman, fee, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain;

2) Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat;

3) Apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;

4) Apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan;

5) apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga;

6) apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketakupayaan yang di kenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan

7) apa-apa tawaran, akujanji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f) yang terdahulu;

Jenis Kesalahan Rasuah

Berikut adalah beberapa bentuk kesalahan rasuah secara umum :-

Meminta/Menerima Rasuah

Mana-mana orang atau ejen secara rasuah meminta/menerima/ bersetuju menerima suapan rasuah (wang/benda/perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan dengan urusan rasmi, prinsipal/majikan berkenaan.

Membuat Tuntutan Palsu

Mana-mana orang memberi kepada ejen, atau ejen memberi kepada prinsipal/majikannya, suatu dokumen yang diketahuinya atau disedarinya mengandungi butir matan palsu, yang mana prinsipal / majikannya mempunyai kepentingan, dengan tujuan untuk mengeliru/memperdayakan prinsipal/majikannya.

Menyalahguna Jawatan/Kedudukan

Mana-mana pegawai badan awam menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapat suapan membuat apa-apa keputusan atau mengambil tindakan berhubungan dengan apa-apa perkara mengenainya, di mana pegawai itu, saudara maranya atau sekutu- nya ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung.

(Rujukan)

Bagi sesiapa yang bekerja di sektor perniagaan dan politik terutamanya, saya kira tidak sukar untuk menemui atau mendapati salah satu antara empat kategori tadi berlaku.

Ingatlah sekali lagi beberapa penekanan Islam berikut :-

1) Nabi Muhammad s.a.w bersabda : "Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan) " ( Riwayat Abu Daud, no 2943, Albani : Hadith Sohih ; Ma'alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)

2) Nabi bersabda kepada seorang gabenornya yang telah ditugaskan mengutip zakat kabilah Azad, maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian dari wang yang dikutip sambil berkata :

"ini untukmu (bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai), maka jatuh murka Baginda sambil bersabda :" Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah)" (Al-Bukhari & Muslim )

3) Di dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengutus Abdullah bin Rawahah berangkat ke Khaibar (daerah Yahudi yang tunduk kepada kekuasaan Islam) untuk menilai hasil buah kurma di daerah itu kerana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memutuskan bahawa hasil bumi Khaibar dibahagi dua; separuh untuk kaum Yahudi sendiri, dan yang separuh lagi diserahkan kepada kaum Muslimin.

Ketika Abdullah bin Rawahah sedang menjalankan tugasnya, orang-orang Yahudi datang kepadanya membawa berbagai perhiasan dan berkata kepada Abdullah:

"Perhiasan ini untuk anda, ringankanlah kami dan berilah kepada kami lebih dari separuh," Abdullah menjawab, "Wahai kaum Yahudi! Demi Allah kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!" Mendengar jawaban tersebut mereka (Yahudi) berkata, "Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak!" [Imam Malik, Al Muwattha':1450].

4) Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda :

"Hadiah yang diberikan kepada para penguasa adalah suht (haram) dan rasuah yang diterima hakim adalah kufur" [Riwayat Ahmad].

Oleh yang demikian, tidak kira samada itu adalah rasuah mahupun hadiah, kedua-duanya adalah jelas-jelas haram di dalam Islam. Semua harta yang diperolehi dari jalan rasuah adalah haram, menyimpannya adalah haram, membelanjakannya adalah haram.

Justeru, setiap penerima, pemberi dan perantara yang terlibat di dalam keharaman ini wajib dihukum, dan hukuman ke atas mereka adalah ta'zir.

Ta'zir yang berat perlu dikenakan kepada pesalah-pesalah ini agar ia benar-benar menjadi pengajaran bagi mereka dan menjadi pencegah kepada umat Islam lainnya. Dengan tidak diterapkannya sistem uqubat Islam pada hari ini, kita menyaksikan mereka yang terlibat dengan kes rasuah masih mampu senyum dan kelihatan tenang semasa menghadapi perbicaraan di mahkamah dan langsung tidak kelihatan rasa kesal dan takut pada wajah-wajah mereka dengan kekejian yang mereka lakukan. (http://www.mykhilafah.com/)

Isu Melapor Bagi Yang Mengetahui

Menurut hukum Islam, individu yang mengetahui wajib ke atasnya untuk melaporkan kepada pihak berkuasa. Jika tidak, ia dikira bersubahat dan turut mendapat dosa hasil menyembunyikannya. Penyembunyian atau membiarkan gejala ini berterusan di sekeliling kita akan memberikan kesan buruk kepada Islam, syarikat, organisasi dan Negara. Akhirnya, semuanya akan terkesan dan merudum jatuh.

Malangnya, saya pasti senarai sebab-sebab berikut merupakan antara halangan utama seseorang yang mengetahui atau punyai maklumat dari melaporkannya :-

1) Tidak punyai bukti bertulis atau jika ia miliknya sekalipun ia tergolong dalam kategori dokumen rahsia rasmi. Jika didedahkan si pelapor pula yang akan ditangkap di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Masalah ini mestilah diselesaikan oleh pihak berkuasa jika benar-benar serius dalam usaha membanteras rasuah. 

2) Tidak sampai hati untuk melapor kerana mereka yang terlibat adalah rakan dan kenalan rapat.

Bagi sesiapa yang terlibat dalam kategori ini, sedarilah anda turut berdosa kerana bersubahat.

3) Bersikap tidak peduli yang berpegang dengan falsafah ‘lantak hang la, asalkan tidak libat aku, sudah'.

Ini juga dikira berdosa di dalam Islam.

4) Malas untuk terlibat dan ulang alik ke mahkamah untuk keterangan di sana dan di sini.

Sepatutnya, tiada malas dalam menjalankan tugas memerangi mungkar dan kemaksiatan. Malas begini menandakan hati yang semakin ‘mati' dari iman.

5) Takut diri sendiri terjerat apabila kerahsiaan dirinya sebagai pelapor tidak di jamin selamat.

Ini juga perlu di selesaikan oleh pihak berkuasa. Tanpanya, semua hanya akan berdiam diri.

6) Kurang yakin kepada pihak berkuasa. Bimbang pihak berkuasa juga akan dirasuah hingga akhirnya si pelapor pula yang dibuang kerja atau di ambil tindakan.

Pihak berkuasa perlu berusaha meningkatkan keyakinan masyarakat kepada mereka. Keyakinan tidak boleh dipaksa-paksa, ia akan datang dengan pembuktian tahap kesungguhan mereka.

7) Takut kerana individu yang terlibat rasuah itu punyai ‘cable', jawatan tinggi , hebat dan besar.

Bagi keadaan ini, ia adalah tanda kehancuran sedang menanti bagi Negara yang punyai keadaan ini.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda :

"Sesungguhnya kebinasaan umat-umat sebelum kalian adalah jika orang yang terhormat dari mereka mencuri, mereka membiarkannya, tetapi jika orang bawahan mereka mencuri, mereka potong tangannya. Demi Zat yang jiwaku ada di tanganNya, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya akan aku potong tangannya!"

Kesan Buruk Dari Rasuah

Rasuah adalah haram di dalam Islam disebabkan kesan yang dibawanya ke dalam sesebuah masyarakat dan Negara. Saya tidak berhasrat untuk menghurai panjang dalam bab ini, cukuplah dinyatakan isi utama yang sempat difikirkan. Sebagai huraian ringkas ia seperti berikut :-

1) Jalan Mudah ke Neraka. Bagi Muslim khususnya, rasuah mencerahkan peluang seseorang untuk ke Neraka.

2) Menghancurkan keadilan dalam masyarakat. Tiada lagi jaminan penjagaan harta, maruah, nyawa dan diri seseorang. Semuanya boleh dibeli.

3) Melahirkan masyarakat yang tiada kemahiran dan skill. Jumlah masyarkat yang cekap , mahir dalam tugasan dan ilmu akan berkurangan kerana ‘skill' dan ilmu kemahiran semakin tiada erti lagi, yang lebih beerti adalah siapa lebih cekap menyogok.

4) Muncul masyarakat yang pentingkan diri sendiri. Masing-masing memikirkan diri mereka semata-semata tanpa memikirkan kesan buruk terhadap mangsa bagi jangka pendek dan Negara bagi jangka panjang.

5) Menghasilkan hasil kerja yang buruk. merbahayakan keselamatan dan keharmonian. Kontrak kerja yang diberi secara rasuah kepada pengusaha yang bukan kerana merit tetapi kerana sogok, mendedahkan bahaya kepada orang ramai disebabakn kerjanya tidak berkualiti.

6) Kos pengurusan akan meningkat. Semua syarikat pengusaha baru terutamanya semakin sukar berkembang akibat kos meningkat kerana peruntukan kos rasuah diperlukan.

7) Pengurusan pentadbiran menjadi lewat dan lembap. Pengurusan sengaja melengahkan kerja kerana menunggu rasuah tertinggi. Pertambahan proses birokrasi juga boleh menambah kelembapan, kerana mungkin semua tahap pegawai inginkan rasuah terlebih dahulu sebelum memproses permohonan dan lain-lain.

8) Muncul si jahat yang bertambah jahat. Kaki makan rasuah menikmati hasil rasuah dan memberikan kelaurga makan harta rasuah. Justeru, Seluruh keluarganya bakal menjadi kaki rasuah di setiap sector selepas ini. Maka bertambah si jahat dan yang telah jahat akan semakin bertambah jahat. Firman Allah s.w.t :-

فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ اللّهُ مَرَضاً

Ertinya : "Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya " ( Al-Baqarah : 10 )

Maka sesiapa yang membiarkan perutnya dan keluarganya diisi dengan hasil rasuah Tanpa taubat yang sebenar, Allah SWT akan membiakkan lagi peluang dan ruangnya untuk menjadi orang yang celaka, dan mendapat keluarga yang bakal runtuh, kecoh dan hancur.

9) Menyebabkan pembahagian kekayaan yang tidak seimbang. Kaya bertambah kaya dan miskin bertambah miskin. Yang miskin sukar memperbaiki dirinya kerana tidak punayi ‘cable' yang baik, wang yang tidak mencukupi. 

Akhirnya, semoga tulisan ringkas ini dapat memerikan sedikit suntikan buat kita untuk mengelak diri dari rasuah dan membanterasnya dari berlaku di sekeliling kita. Jika kita ingin menjadi sebuah Negara maju, rasuah perlu dihapuskan. Lihatlah sekali lagi statistic yang disebutkan di atas. Ia jelas menunjukkan kadar rasuah di negara-negara maju adalah rendah. Fikirkan...terutamanya dari sudut Islam.

Ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ditawarkan dengan pelbagai kesenangan hidup, harta dan takhta oleh kaum Quraish dengan menetapkan beberapa syarat iaitu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mestilah meninggalkan perjuangan untuk mendaulatkan idealisme Islam, meninggalkan jihad, meninggalkan dakwah dan meninggalkan wawasan Baginda Rasulullah untuk membina masyarakat rabbani.

Bagaimanapun Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak tunduk dengan tawaran rasuah itu dan tidak berganjak seinci pun dengan komitmen Baginda meskipun mereka meminta bapa saudara Rasulullah, Abu Talib untuk memujuk namun Rasulullah tetap masih dengan pendiriannya dan bersabda:

"Sekiranya bulan diletakkan di tangan kananku dan matahari di tangan kiriku nescaya aku tidak akan sekali-kali meninggalkan tugas menyebarkan Islam ini."

Ingin bersama Nabi di Mashyar?..ingin syafaat baginda??. Ikutilah tindakan baginda nescaya akan dikasihi Allah jua.


*Sumber dari : Zaharuddin Abd Rahman 

src : http://www.zaharuddin.net/
DISEDIAKAN OLEH : KUNTUM